Majlis Aidilfitri Alumni MDQ 2024
Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024
Perjumpaan semula beri peluang alumni kongsi cerita
Bustan Mawaddah tidak melepaskan peluang untuk menghadiri perjumpaan semula (reunion) alumnni Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila, Marang menerusi acara sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 yang telah diadakan pada 4 Syawal baru-baru ini di Dewan Tuan Guru Harun Taib.
Bahagian Pertama (Berita)
Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 diadakan untuk menghimpunkan kembali setiap generasi yang pernah menuntut dan menerima pendidikan samada di peringkat I'dadi dan juga Thanawi.
Perjumpaan semula di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 memberi peluang setiap generasi bersua muka, bertanya khabar dan berkongsi cerita mengenai perkembangan kehidupan setelah sekian lama tidak bertemu.
Acara Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 bermula dengan kehadiran tetamu seawal jam 8 malam. Kaunter pendaftaran dibuka berhampiran pintu masuk dewan yang menyaksikan sejumlah tetamu daripada setiap generasi mengambil bahagian.
Pendaftaran secara atas talian (online) juga telah dibuka lebih awal sebaik sahaja pengumuman Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 dilakukan. Pendaftaran ini juga turut membuka kutipan sumbangan hari raya yang boleh dibuat melalui kaedah yang telah disediakan.
Terdapat juga juadah nostalgia yang pasti menggamit kenangan setiap alumni yang hadir dan menjadi hidangan utama Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 iaitu nasi minyak ikan bilis Mak Ngah.
Selain jamuan yang melengkapkan acara Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024, tetamu juga dapat menyaksikan persembahan pentas yang menghiburkan.
Perjalanan Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 diteruskan dengan ucapan aluan dan penghargaan antaranya daripada Presiden Alumni Nazri Ahmad dan ucapan Mudir Maahad Darul Quran Ustaz Hj. Ismail Osman.
Sepanjang Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 ini berlangsung, terdapat beberapa slot yang melibatkan penghargaan pihak alumni kepada sekolah antaranya penyerahan sumbangan dana pendidikan dan pembangunan MDQ.
Beberapa generasi juga dilihat turut menyumbang apabila diminta hadir ke pentas untuk menyerahkan sumbangan dan bergambar bersama wakil pihak MDQ dan alumni ketika penghujung Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024.
Acara terakhir Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 yang dinantikan ramai terutama anak-anak kecil di kalangan setiap generasi iaitu penyerahan duit raya yang disampaikan oleh Mudir MDQ dan alumni.
Bahagian Kedua (Ulasan Penulis)
Saya mendapat maklumat berkaitan penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 ini menerusi iklan (poster) yang dimuat naik di laman Maahad Darul Quran Rusila pada 4 April 2024.
Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu saya berhasrat untuk untuk hadir ke majlis seumpama ini yang menghimpunkan sejumlah ramai alumni MDQ. Namun terdapat halangan dari segi masa dan kadang-kala terlepas tarikh berikutan saya tidak bermastautin di Terengganu. Maka penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 adalah yang pertama dihadiri selepas belasan tahun.
Saya mendapat jemputan dan permintaan daripada ramai sahabat untuk bertemu samada di hari raya atau hari-hari biasa apabila ada kesempatan pulang ke Terengganu. Namun masa agak terhad untuk saya memenuhi kesemua permintaan sahabat-sahabat dan kunjungan ziarah saya hanya sempat ke beberapa destinasi sahaja. Saya rangkum kesemua senarai untuk dikunjungi itu menerusi kehadiran ke Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024.
Apabila usia menjengah 40-an (42 tahun ketika artikel ini ditulis), timbul hasrat untuk berjumpa sahabat-sahabat yang telah lebih 20 tahun tidak bertemu. Beberapa watak bermain di fikiran mengimbau empat tahun pertama di Maahad Darul Quran terutama di tahun-tahun awal pengajian I'dadie. Watak-watak ini sangat penting di mana di sinilah bermula segalanya dan sebahagian kecil watak ini telah menjelma di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024.
Bertolak dari Manir menuju ke Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 sekitar pukul 8 malam. Menggunakan laluan biasa menghala ke Pantai Batu Burok dan terus menuju ke Kuala Ibai, Chendering dan mencapai Rusila kemudiannya. Keadaan aliran trafik agak lancar biar pun masih dalam suasana perayaan.
Tiba di Rusila sekitar pukul 8:30 malam. Menemui beberapa teman di hadapan masjid dan lobi dewan iaitu saudara Nuruddin Awang, Kamal Deraman, Muslim Suhaimi, Ridhuan Abdullah dan Ustaz Mohd Soud. Menuju ke dewan acara Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 yang berada di tingkat atas dan sempat menyapa beberapa teman seperti Abdullah Khairi, Saufi Osman (Ayub) dan selainnya. Bertanya khabar adik-adik di kaunter pendaftaran dan mula memasuki dewan.
Terlebih dahulu saya menuju ke bahagian penyediaan jamuan, kerana selepas menikmati hidangan ini saya ingin menggunakan masa sepenuhnya untuk berjumpa dengan teman-teman. Saya hanya menjamah juadah 'colek buah' dan terus memanfaatkan masa yang sangat terhad ini untuk menemui sahabat lama. Malah, juadah utama Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 - nasi minyak ikan bilis Mak Ngah, tidak sempat disentuh.
Ketika menikmati juadah colek buah di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024, mata saya melilau mencari teman-teman yang dikenali, lebih-lebih lagi kenalan yang pernah sama-sama berada di tahun satu MDQ (I'dadi Awal). Nun di hujung sana terdapat beberapa meja jamuan yang menghimpunkan watak teman sepengajian antaranya Zubir Mat Zain, Syahir Syabli, Rozi Aziron Mat Rudin, Arifin Ashaari, Mursyid Asli, Saiful Azuan Che Zuhar, Fauzi Sharif dan Syukri Mustafa (Awang).
Apabila berbicara tentang kenalan yang meninggalkan banyak kenangan. Aspek tempat tinggal penghuni asrama MDQ tidak boleh dikesampingkan. Kenangan yang paling dramatik antaranya adalah bersama penghuni bilik 'D'. Bilik yang dilimpahi air ketika hujan lebat (jika longkang atap tersumbat). Sudah tentu penghuninya turut kelihatan di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 antaranya Marzuki Hussin, Farizal Ridhuan, Shahran Yahya dan Nik Mohd Fauzi.
Sebelum sempat menemui teman-teman di meja makan Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024, saya 'disekat' oleh adik-adik antaranya saudara Shahrizam Abdullah dan Faizan Mamat - ketika ini saudara Jailani Mamat sempat merakamkan gambar kami dari jarak jauh. Kenangan bersama mereka sebahagiannya lebih banyak ketika melibatkan aktiviti Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) Batu Enam, Kuala Nerus dan sebahagian lagi di Perlembahan Nil - Mesir. Selapas menamatkan pendidikan di MDQ, Faizan melanjutkan pengajian ke Lampeter, United Kingdom. Manakala Shahrizam ke KUDQI, Manir dan terus menyambung pembelajaran ke Menoufia, Shibin el-Kom, Mesir.
Selepas berbual seketika dengan saudara Faizan, Shahrizam dan beberapa yang lain, saya terus menuju ke meja jamuan yang menempatkan watak-watak yang cukup saya kenali. Saya menyapa Fauzi Sharif dan beliau hampir tidak mengenali kerana tidak pernah bertemu untuk tempoh yang begitu lama. Saya juga turut bersalaman dengan teman lain yang berada di meja yang sama dan mereka masih mengenali kerana sempat bertemu di institusi pengajian tinggi seperti di KUDQI dan al-Azhar, Mesir antaranya Wahidin, Zubir, Arifin, Rozi dan Izwadi. Manakala sempat menyapa Ridhuan di lobi dewan dan Fazli Uzali selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 berakhir.
Acara di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 memasuki slot pegucapan. Saya beralih ke meja yang menempatkan Shahir Shabli, Adnan Seman, Marzuki Hussin dan beberapa yang lain. Berbual dengan Shahir sedikit lama kerana saya tidak pernah menemuinya sejak beliau menamatkan pengajian di MDQ. Kalau tidak silap, beliau adalah antara tiga orang pelajar terbaik i'dadi awal (tingkatan satu) yang berjaya 'lompat kelas' (dinilai kelayakan dalam peperiksaan) terus ke tahun tiga bersama dua orang lagi teman saya iaitu Farid Salleh dan Safuan Deraman. Kali terakhir saya mengetahui perkembangannya selepas dimuat naik oleh Fauzi Syarif menerusi akaun media sosial miliknya mengenai berita kesihatan Shahir. Sebelum beralih menemui teman yang lain, saya sempat bertanya beliau untuk mengesahkan warung yang diusahakan bersama adiknya iaitu Shahril masih lagi di Warung B12 di Balok, Kuantan, Pahang. Jemput datang ke warung Shahir dan Shahril.
Usai perbualan di meja makan, saya beralih sedikit ke bahagian kerusi di belakang. Berbual ringkas bersama teman yang pernah sama-sama menuntut di Tanta iaitu saudara Abdul Hakim Ismail, begitu juga turut disapa oleh saudara Wan Azmi Wan Musa yang pernah menuntut di Syria. Dari kejauhan kelihatan kelibat Mursyid dan saya mengangkat tangan memanggil untuk berbual ringkas. Kemudian kelihatan Nik Mohd Fauzi yang melihat saya dari jauh dengan mengerut kening, mungkin inginkan kepastian seolah mengenali 'orang' yang baharu saja selesai berbual dengan Mursyid. Tekaannya tidak salah, kami berbual ringkas perihal tempat tinggal dan keadaan kesihatan. Sapaan terakhir sebelum semuanya naik ke pentas adalah daripada Shahran Yahya, beliau sempat bertanyakan tentang perubahan fizikal di mana saya hanya sempat menjawabnya sebagai 'puasa basah'. Semuanya adalah perbualan ringkas kerana Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 sudah di hampir ke penghujung dan ada teman-teman yang dipanggil untuk ke pentas.
Saya tidak dapat berbual panjang apabila seorang demi seorang menuju ke pentas Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 bagi memenuhi permintaan untuk acara sumbangan dana pendidikan dan kebajikan MDQ melibatkan sesi bergambar untuk beberapa generasi alumni yang dipanggil. Ketika ini saya sempat melihat teman lama yang pernah sama-sama belajar di kelas yang sama darjah empat Madrasah Darul Taqwa (MDT) iaitu saudara Fadzil Mamat (abang kepada Jailani Mamat). Apabila menaiki darjah lima MDT, saya sudah tidak satu kelas dengan beliau. Namun bertemu semula di kelas yang sama ketika di tingkatan satu MDQ. Pun begitu 'jodoh' beliau tidak lama di MDQ. Akhirnya kami bertemu semula di tempat kerja yang sama iaitu di Pusat Pengiklanan Wan Advertising di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sekitar tahun 2011. Saya bekerja di bahagian design dan printing operator, manakala beliau bekerja di bahagian signboard dan pemasangan.
Selain Fadzil, teman-teman lain dari MDT yang bersama saya memasuki tahun pertama MDQ pada 1994 antaranya Suhaimi Muhammad, Noor Ahmad Abdul Wahab, Rizan Harun, Zikri Wahab, Asri Shaari, Nazim Hilmi, Alias Awang, Azmi Ngah, Osman Muda, Zaidun Awang, Yusuf Taib, Azman Yahya, Wan Aimi Wan Ridhuan, Khairul Nizam Wahab, Rozi Aziron Mat Rudin, Ismail Yaakub dan Khairun Anuar - sekadar beberapa nama, adalah sebahagian daripada kenangan MDT yang mencorak peranannya di MDQ. Selebihnya teman-teman seperti Khalifah Harun, Roslan Muzani, Saiful Khudri, Khalid al Walid, Mubin Mokhtar dan lain-lain adalah antara yang memahat kenangan di peringkat sekolah rendah MDT sahaja. Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 diteruskan dengan acara bergambar bagi keluaran generasi yang diumumkan. Saudara Fadzil mengajak sama untuk bergambar di pentas dengan teman-teman yang pernah satu kelas di MDQ 1994.
Mengabadikan kenangan bersama teman-teman di pentas Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 dalam bentuk gambar dan video adalah antara memori indah menggantikan semula gambar-gambar kenangan lama yang telah rosak dan hilang. Biar pun di usia yang sudah jauh berbeza, namun hati budi masing-masing masih sama seperti dulu.
Usai bergambar dan rakaman video ucapan selamat hari raya daripada lepasan MDQ tahun 2000, saya sempat disapa, bersalaman dan bergambar dengan beberapa teman sambil berbual ringkas antaranya yang ditemui adalah saudara Zulhilmi Abdul Rahman, Jailani Mamat, Mahyuddin Yusuf, Alif Mahari dan Shafizi Ismail. Saya juga sempat bersalaman dan bergambar dengan Ustaz Hamzah Ngah. Sebelum meninggalkan dewan Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 sempat juga bergambar dengan beberapa kenalan. Mungkin ada nama-nama yang saya terlepas pandang, mohon maaf dipinta.
Pelbagai generasi alumni yang dapat dilihat hadir ke Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024. Maahad Darul Quran yang ditubuhkan tahun 1985 telah menghantar generasi pelajarnya ke pelbagai intitusi pengajian antaranya Mesir, Syria, United Kingdom, KIDU dan KUDQI. Sebahagian catatan aidilfitri anak-anak keluaran MDQ yang yang menyambut perayaan di luar negara turut dimuatkan di dalam blog Bustan Mawaddah antaranya solat aidilfitri di Stadium Tanta, walk closely beside me, kenangan sambutan aidilfitri di Tanta dan sebuah bingkisan mengenang kad hari raya perantauan.
Faktor usia dan keinginan untuk menemui teman-teman di Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 memainkan peranan penting dalam menggerakkan langkah ini. Tiada jaminan kesihatan yang dipinjamkan untuk sementara akan terus berkekalan. Maka catatan ini diabadikan dalam blog Bustan Mawaddah, setidaknya saya ada rujukan dan bacaan untuk dikenang di hari mendatang bersama teman-teman yang sentiasa dalam ingatan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih (kredit) kepada saudara Jailani, Khairul Nizam dan Irham Maan yang telah berkongsi gambar kenangan Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 di media sosial. Sebahagian gambar yang dimuatkan di dalam artikel ini adalah daripada mereka dan saya mengambilnya dengan membuat sedikit perubahan untuk paparan yang diinginkan.
Untuk akhirnya, saya menganggap Majlis Hari Raya Aidilfitri Alumni MDQ 2024 yang telah diadakan ini berjaya mengumpul setiap generasi alumni. Namun tarikh yang ingin dicadangkan mungkin lebih sesuai diadakan pada hari cuti masih berbaki agar perantau dari jauh yang tinggal di luar Terengganu dapat hadir ke majlis reunion ini dan pulang keesokan hari masih lagi dalam tempoh bercuti. Terima kasih di atas perkongsian bicara bersulam aidilfitri. Salam aidilfitri maaf zahir dan batin daripada Bustan Mawaddah.
0 comments:
Catat Ulasan