Breaking News
Loading...
01 Mei 2024

Kenangan Hari Raya Aidilfitri di Kaherah

bustan mawaddah, kenangan hari raya aidilfitri di kaherah, asrama darul iman, hayyu asyir, mesir,

 

Sambutan Aidilfitri di Rumah Anak Negeri Terengganu Kaherah

Prakata 2024


Bustan Mawaddah telah menerbitkan artikel awalnya tahun lalu berjudul Bustan Mawaddah: 16 tahun selepas (2007 - 2023) sebagai rangkap satu kata mula untuk penerbitan baharu bagi artikel-artikel lama yang diberi nafas dalam bentuk prakata. Pada peringkat awal artikel ini akan berkisar mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di beberapa tempat di Mesir seperti Tanta, Kaherah dan Shibin El-Kom. Kali ini artikel berbentuk berita diterbitkan kembali dengan memakai tajuk kenangan Hari Raya Aidilfitri di Kaherah.
 
Judul asal artikel yang telah diterbitkan pada 9 Oktober 2008 ini adalah Aidilfitri di Asrama Darul Iman Kaherah. Ini juga merupakan artikel pertama melibatkan aktiviti di Kaherah yang diberi sentuhan prakata bagi tahun 2024 selepas artikel lain berkaitan perayaan antaranya solat Aidilfitri di Stadium Tanta, walk closely beside me dan kenangan sambutan Aidilfitri di Tanta. Kebanyakan artikel yang akan diterbitkan kembali melibatkan suasana perayaan dengan mengambil kira semangat aidilfitri yang masih berbaki di bulan Syawal ini.

Terdahulu sebuah bingkisan 'mengenang kad Hari Raya perantauan' Aidilfitri antara benua: Mesir - Indonesia telah diterbitkan untuk mengimbau kembali bagaimana proses penghasilan kad raya digital ini dilakukan. Ia bukan proses yang mudah untuk dilakukan pada waktu itu. Tanpa pengorbanan teman-teman yang sudi berkunjung dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri dalam memastikan usaha kecil ini terlaksana, sudah tentu projek persahabatan ini hanya tersidai di dermaga Nil.

Terdapat juga dua artikel lain yang tidak bertemakan aidilfitri dan diberi sentuhan prakata terkini iaitu kenangan bersama moderator rancangan televisyen Mesir dan penyampaian zakat di Hotel Sheraton. Kedua-dua artikel ini berada dalam kapsul kenangan di Iskandariah, Mesir atau Alexandria, Egypt. Masih terdapat puluhan artikel lama yang belum diberi prakata baharu antaranya catatan perjalanan di Kaherah, Tanta, Shibin El-Kom, Damanhur dan Iskandariah. Ianya akan diterbitkan semula mengikut suasana dan kelapangan masa yang ada.

Artikel Majlis Aidilfitri Alumni MDQ 2024 adalah catatan terbaharu untuk kapsul masa di Malaysia. Sebuah catatan yang merakam saat-saat bermakna sejak di awal majlis hingga ke bahagian penamat diluncurkan dengan penuh penghayatan berbekalkan ingatan di fikiran tanpa sebarang catatan fizikal untuk memandu arah. Kompas perjalanan menghala kepada mencapai hasrat untuk menemui teman-teman yang telah lama tidak bersua. Malah, ia menepati semangat Bustan Mawaddah itu sendiri menerusi tema 'walk closely beside me' atau tema asalnya 'dekorasi bahagia hari ini dan selamanya'.
 
bustan mawaddah, kenangan hari raya aidilfitri di kaherah, asrama darul iman, hayyu asyir, mesir,
 
Berbalik kepada prakata untuk catatan sambutan hari raya di Kaherah. Program hari raya adalah antara program 'wajib' diadakan setiap badan kebajikan anak negeri yang berpusat di kaherah. Begitu juga organisasi penuntut di setiap muhafazah atau cawangan al-Azhar samada di Tanta, Shibin el-Kom, Damanhur, Iskandariah, Mansurah, Shubra, Dumyat dan sebagainya. Kebiasaanya aktiviti perayaan ini diadakan pada tarikh yang berbeza antara badan kebajikan anak negeri di Kaherah yang dikenali sebagai BKAN dan organisasi penuntut di cawangan yang dipanggil sebagai Dewan Perwakilan Mahasiswa atau DPM. Ini bagi memudahkan ahli untuk menghadiri setiap majlis perayaan samada di Kaherah dan cawangan agar tidak bertembung.

Kandungan acara majlis Hari Raya Aidilfitri selalunya melibatkan slot ucapan, persembahan, jamuan dan cabutan hadiah. Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kaherah melibatkan semua penyertaan ahli setiap negeri. Bangunan anak negeri Terengganu Kaherah berada di kawasan yang dikenali sebagai 'Hayyu Asyir'. Kawasan ini juga terdapat beberapa buah bangunan anak negeri yang lain dalam satu dataran iaitu Selangor, Pahang, Kedah dan Sarawak.

Penuntut Terengganu yang mempunyai kenalan di rumah anak negeri lain kadang-kadang diundang untuk menikmati jamuan Hari Raya Aidilfitri di bangunan mereka. Sebagai contoh bangunan anak negeri Selangor yang betul-betul berada di hadapan bangunan anak negeri Terengganu. Apabila majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri diadakan pada hari yang sama, maka ada di kalangan penuntut Terengganu yang menghadiri majlis tersebut di bangunan Selangor apabila mendapat undangan.
 
bustan mawaddah, kenangan hari raya aidilfitri di kaherah, asrama darul iman, hayyu asyir, mesir,
 
Sambutan Hari Raya Aidilfitri di bangunan anak negeri Terengganu Kaherah dan negeri lain boleh dikatakan sebagai hari 'menggantung periuk'. Kerana pada hari tersebut hidangan jamuan boleh dinikmati dari waktu tengahari hingga ke petang. Malahan, jika masih ada sisa jamuan berbaki, ia turut diedarkan ke setiap bilik.

Kalangan penuntut anak negeri Terengganu yang datang ke Kaherah selalunya akan bermalam sekurang-kurangnya satu malam. Ini mengambil kira jarak perjalanan yang jauh dan perlukan rehat secukupnya. Bagi aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kaherah, kebanyakan ahli yang jauh akan datang sehari lebih awal dari majlis yang akan diadakan. Ini bagi memberi tumpuan persiapan terutamanya melibatkan urusan jamuan yang memerlukan penglibatan ramai ahli.

Suasana gotong-royong sempena sambutan majlis Hari Raya Aidilfitri di Kaherah begitu meriah terutamanya apabila setiap ahli membuat persiapan memotong daging, memasak nasi, menyiapkan dewan acara dan sebagainya. Di setiap bangunan anak negeri ini mempunyai juadah tersendiri yang menjadi hidangan tradisi setiap negeri, sebagai contoh juadah lontong yang sinonim dengan negeri Selangor. Walaupun hidangan seperti ini juga terdapat di bangunan anak negeri yang lain, namun sentuhan aromanya adalah berbeza.
 
Berbicara soal juadah di Hari Raya Aidilfitri, hidangan yang disediakan oleh penuntut Malaysia di Mesir adalah makanan kebiasaan yang akan disiapkan saban tahun antaranya seperti sate, soto dan nasi minyak. Berbeza pula juadah raya yang dinikmati masyarakat Arab. Menurut perkongsian di portal The National News berjudul 'Egypt's Eid Al Fitr celebrations muted due to economic crisis', simbolik penting dalam hidangan menyambut Hari Raya Aidilfitri antaranya ialah membakar biskut berasaskan minyak sapi. Juadah juga ditaburkan dengan gula tepung atau disumbat dengan pelbagai jenis kacang dan kurma atau makanan Turki. Juadah raya ini akan dimasukkan ke dalam kotak untuk dihadiahkan kepada keluarga dan tetamu.
 
bustan mawaddah, kenangan hari raya aidilfitri di kaherah, asrama darul iman, hayyu asyir, mesir,
 
Menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kaherah juga bukan sekadar untuk menikmati jamuan, ia juga adalah kesempatan dan peluang yang perlu diraih untuk bertemu teman-teman dari cawangan al-Azhar yang berbeza dan ada cawangan yang begitu jauh seperti Iskandariah dan Dumyat. Untuk pergi ke tempat yang begitu jauh memerlukan sejumlah perbelanjaan dan perjalanan secara berkumpulan. Di sini, sekali lagi Bustan Mawaddah mendapatkan temanya yang catchy - 'walk closely beside me'.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Asrama Darul Iman Kaherah dihadiri ramai penuntut Terengganu dari pelbagai jurusan dan tempat pengajian. Ada di kalangan mereka yang sebenarnya tinggal sekampung di tanah air, tetapi tidak pernah mengenali sehinggalah berjumpa di perlembahan Nil. Bidang pengajian berbeza dan institusi pendidikan berlainan di Malaysia sebelumya tidak pernah menjadikan mereka terasing bila mana menjejakkan kaki di bumi para rasul ini.
 
Berpakaian kemas menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kaherah seperti baju Melayu dengan samping, berpakaian kemeja dan berjubah antara pilihan penuntut Malaysia di Mesir yang terus konsisten dengan pakaian tradisi terutama baju Melayu yang dibawa dari tanah air. Lain pula dengan masyarakat Arab di Kaherah. Pada tahun ini kebanyakan mereka menyambut perayaan seadanya dengan membeli pakaian baru terpakai di pasar terbesar Kaherah yang dikenali sebagai Wekalet El Balah. Pakaian dan barangan borong terpakai dapat dibeli pada harga yang lebih murah berbanding kedai-kedai biasa di Kaherah.

Majlis diserikan dengan pelbagai slot istimewa termasuk ucapan hari raya daripada ahli dari pelbagai cawangan samada al-Azhar dan Universiti Perubatan. Acara jamuan adalah paling dinantikan ramai karana semua air tangan ahli yang bergotong royong memasak nasi, memotong daging, sayur-sayuran dan buah-buahan ada di dalamnya. Sambil menikmati hidangan, diringankan mulut untuk berkenalan setidaknya nama dan tempat pengajian. Begitulah adat dan lumrah apabila berada di kejauhan antara Timur Tengah (Mesir) dan Timur Jauh (Malaysia). Hanya teman sebagai sandaran.

Apabila selesai majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anak negeri Terengganu di Asrama Darul Iman Kaherah, ada di kalangan penuntut yang akan pulang dan ada yang akan tinggal beberapa hari lagi untuk melaksanakan perancangan seterusnya seperti kunjungan ke rumah teman-teman di sekitar Kaherah atau teman-teman dari Kaherah berbalas kunjungan dengan pulang bersama tetamu (berkunjung ke tempat mereka pula).

Begitulah sedikit catatan mengenai suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri perantauan anak negeri Terengganu di Asrama Darul Iman Kaherah. Semoga catatan ringkas ini mengingatkan kembali kenangan keberadaan di negara yang kaya dengan peradaban dan sejarah kenabian. Ada sejarah yang baik untuk diikuti seperti sejarah Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang sarat dengan nilai keilmuan, penghayatan dan motivasi. Terdapat juga sejarah yang perlu dijadikan pengiktibaran dan renungan antaranya kisah firaun dan haman.

Hari Raya Aidilfitri di Kaherah sebuah catatan kenangan.

Catatan asal

 

Aidilfitri di Asrama Darul Iman Kaherah

 
Sambutan Aidilfitri di Kaherah tidak kurang meriahnya, melihat kehadiran sejumlah ahli ke Asrama Darul Iman untuk bergotong - royong dan membantu menyiapkan persiapan majlis yang diadakan di Hayyu Asyir ini. Hidangan sate, nasi himpit dan soto menjadi menu istimewa di lebaran mulia Aidilfitri.
 
Seawal selepas mengerjakan solat zohor kelihatan tetamu sudah pun memasuki ruang solat (dewan) untuk menikmati sajian hari raya. Di hari yang sama juga Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor turut mengadakan jamuan hari raya dengan hidangan lontong.

bustan mawaddah, kenangan hari raya aidilfitri di kaherah, asrama darul iman, hayyu asyir, mesir,


Next
This is the most recent post.
Catatan Lama

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved