Breaking News
Loading...
04 April 2024

Penyampaian zakat di Hotel Sheraton

Penyampaian zakat di Hotel Sheraton bersama penuntut Terengganu Mesir di Montazah, Iskandariah pada tahun 2008.
Khabar zakat dan dakapan Mediterranean

Prakata tahun 2024

 
Catatan 4 April 2024. Kota Bharu

Sebelum majlis penyerahan zakat untuk penuntut Terengganu di Mesir yang terdiri daripada jurusan Pengajian Islam dan Pengajian Perubatan diadakan, masa yang terluang digunakan sebaik mungkin untuk menunaikan solat jumaat di sebuah masjid berhampiran Hotel Sheraton.
 


Blog Bustan Mawaddah mencatat beberapa kenangan ketika ini antaranya pertemuan dengan seorang moderator bagi penyiaran televisyen Mesir yang dikenali sebagai Ustaz Asyraf. Judul diberi bersama moderator rancangan televisyen Mesir yang telah diterbitkan sebelumnya. 

Kenangan yang lain adalah dapat bertemu dengan penuntut dari 'muhafazah' (cawangan al Azhar) yang lebih jauh. Bertanya berkaitan budaya masyarakat setempat dan suasana yang mungkin berbeza dari sudut suhu cuaca. Mesir adalah negara luas di utara benua Afrika dan berkongsi geografi Timur Tengah menerusi jajahan taklukan semula di Semenanjung Sinai. Polemik sempadan Rafah - Palestin menjadi bualan hangat hingga kini.
 
Mendapat khabar zakat yang akan diterima melalui acara yang telah diatur susunannya di Montazah, Iskandariah. Maka para penuntut yang telah disahkan layak untuk menerima bantuan tersebut berbincang agar perjalanan ke tanah bekas jajahan pertembungan peradaban Islam dan Romawi itu lebih bermakna. Bertemu dan menerima dakapan Mediterranean adalah pemaknaan sebenar yang ingin disampaikan.

Setelah mendapat khabar zakat dan menerimanya sebagai sumbangan 'fi sabilillah', saat untuk bersua kembali dengan kenalan lama atau yang pernah dikenali dan kini berada di bandar kedua terbesar di Mesir selepas kaherah, boleh dilakukan. Merasai denyut nadi dakapan Mediterranean (bersalaman dan berdakapan bersama teman-teman) di utara Mesir menerusi pertemuan dan kunjungan ke kawasan kediaman seperti di Montazah, Mandarah dan Suuq adalah gambaran umum bagaimana perjalanan ini ditempuhi secara bersama selayaknya mengangkat tema walk closely beside me di kalangan anak Malaysia di Perlembahan Nil.
 
Perjalanan menaiki keretapi akan menempuh berbagai pengalaman dengan menyaksikan bagaimana masyarakat arab di sini berurusan. Sememangnya terdapat perbezaan dari segi budaya, cara layanan dan suhu yang ditempuh di sebuah kota metropolitan yang berdekatan dengan empayar kerajaan Rom.

Kesan peninggalan empayar Rom dapat dilihat pada seni bina bangunan dan bandar-bandar di sini yang lebih tersusun dan menarik. Persekitarannya jauh lebih bersih berbanding Kaherah. Cara layanan masyarakat arab juga berbeza dengan cara layanan di tempat lain, apatah lagi masyarakat arab di 'muhafazah'. Manakala suhu yang dirasai lebih nyaman berbanding Kaherah. Lautan Mediterranean meniupkan angin sejuk dari Eropah memasuki utara benua Afrika (Iskandariah, Mesir).

Menaiki 'keretapi ayam' adalah pengalaman yang tidak akan ditemui lagi apabila meninggalkan Mesir. Harga tiket yang ditawarkan jauh lebih murah. Melintasi beberapa 'mahattah' (stesen) seperti Sidi Gaber, Suuq, Asafirah, Mandarah, dan Montazah merupakan nama-nama stesen yang sudah melekat dalam ingatan teman-teman di Iskandariah. 

Difahamkan sektor keretapi Iskandariah akan menghentikan sebahagian operasi bagi memberi laluan kepada projek menaik taraf fasa pertama metro Iskandariah sebagaimana dijelaskan menerusi portal Egypt Today - Alexandria railway to partially halt operation to implement first metro phase.

Projek tersebut dikatakan telah bermula secara beransur-ansur pada Januari lalu melibatkan sektor keretapi antara Stesen Misr dan Stesen Sidi Gaber. Operasi naik taraf juga melibatkan Stesen Abu Qir hingga ke Stesen Montazah pada Februari dan dari Stesen Montazah ke Stesen Sidi Gaber pada Mac. Nilai kontrak dikatakan berjumlah 1.3 bilion euro.

Hidangan 'wajib beli' sebelum tiba di kediaman sahabat-sahabat yang tinggal di Iskandariah samada di Suuq, Asafirah, Mandarah dan lain-lain selalunya air tebu dan kebab. Itu belum lagi bercerita mengenai juadah lain di mana Iskandariah juga dikenali sebagai 'raja masakan laut'.

Untuk akhirnya Bustan Mawaddah mengajak pengunjung untuk membaca catatan di bawah yang merupakan catatan asal blog yang diterbitkan pada tahun 2008 dengan sedikit perubahan olahan artikel. Penulis juga turut sama berada dalam timeline sejarah ini bersama teman-teman perantauan anak Terengganu untuk menerima bantuan zakat yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu ketika itu di Hotel Sheraton Montazah.
 
Jumlah stesen metro dan penyampaian zakat di Hotel Sheraton bersama penuntut Terengganu Mesir di Montazah, Iskandariah pada tahun 2008.

Penuntut Mesir dari Pengajian Islam dan Perubatan berkumpul di Iskandariah

 
Ini catatan asal di Bustan Mawaddah yang diterbitkan pada 25 Oktober 2008.
 
Selepas diadakan di Asrama Melayu Abbasiah (ARMA), kini majlis yang sama diadakan di Hotel Sheraton (Sheraton Montazah Hotel - Alexandria, Egypt) iaitu di Mountazah, Iskandariah, Mesir. Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad bin Said dihadiri sekitar 100 orang penuntut dari pelbagai jurusan pengajian (Pengajian Islam dan Pengajian Perubatan). Menteri Besar memberikan sedikit ucapan serta menyampaikan anugerah penghargaan pelajar cemerlang dan bantuan zakat kepada seluruh penuntut dari Terengganu yang menyambung pengajian di Perlembahan Nil. 
 
Majlis didahului dengan hidangan jamuan yang disusuli dengan ucapan aluan, penyampaian hadiah dan penyerahan cek (zakat). Menerusi majlis ini, dilihat hampir semua penuntut yang telah memohon bantuan zakat menghadiri acara yang dinantikan di utara Mesir ini. Peserta yang datang dari pelbagai muhafazah (cawangan al-Azhar) dan pelbagai jurusan pengajian terus memenuhi ruangan dewan hotel sebaik sahaja selesai mengerjakan solat jumaat di masjid berdekatan. 
 
Selain itu, penuntut yang datang ke Iskandariah juga berpeluang menziarahi sahabat handai dan kenalan yang telah mendirikan rumah tangga di sini. Untuk makluman, penuntut Malaysia yang menerima jurusan Pengajian Islam di Iskandariah hanya terdiri daripada penuntut perempuan. Manakala penuntut lelaki pula adalah daripada jurusan Pengajian Perubatan (Medic).
 
Penyampaian zakat di Hotel Sheraton bersama penuntut Terengganu Mesir di Montazah, Iskandariah pada tahun 2008.

 

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved