Breaking News
Loading...
21 April 2023

Bustan Mawaddah: 16 tahun selepas (2007 - 2023)

bustan mawaddah 16 tahun selepas, 2007 - 2023, walk closely beside me,

Menghargai segala apa yang telah dimulakan dan diusahakan

Nama 'Bustan Mawaddah' diambil daripada perkataan dalam sebuah coretan yang bersejarah. Di akhir coretan tersebut terserlah kata azimat 'dekorasi bahagia hari ini dan selamanya' sebagai doa dan harapan. Saya melihatnya daripada semangat kebersamaan yang ingin disampaikan. Kebersamaan boleh hadir dalam sebuah ikatan samada kekeluargaan dan persahabatan yang melahirkan kasih sayang, bantu-membantu dan saling menghormati. Erti semangat persahabatan inilah yang ingin saya bawa ke dalam Bustan Mawaddah dengan mengangkat nilai kebersamaan dan meraikan perbezaan.


Bustan Mawaddah diwujudkan pada tahun 2007, ketika itu dunia blogger masih lagi menjadi ikutan ramai terutama generasi muda yang mahu mempersembahkan apa yang mereka miliki terutamanya melibatkan karya penulisan untuk diterbitkan. Selain itu blogger juga menjadi alternatif penting untuk menyuarakan, menyampaikan dan mendapatkan maklumat. Bagi penuntut Universiti al Azhar di Mesir pada waktu itu, memiliki blog sendiri adalah menjadi 'kewajipan' terutama yang memiliki komputer desktop atau komputer riba.

Selaku pengendali blog Bustan Mawaddah, saya antara penuntut yang tidak mempunyai kemudahan tersebut. Namun semangat untuk memiliki blog sangat tinggi biar pun tidak memiliki komputer. Saya menggunakan waktu pulang dari kelas kuliah untuk ke pusat komputer atau cybercafe bagi mencari maklumat berkaitan cara mencipta blog, dalam masa sama bertarung dengan kelaparan sebelum pulang ke rumah sewa menikmati hidangan bujang.

Bustan Mawaddah mula menerbitkan artikel pada tahun 2008. Ia lebih kepada penulisan yang ringan dan catatan santai, namun dalam kerangka formal. Ini kerana cinta saya kepada bahasa melayu yang tepat samada dalam penulisan dan pertuturan (untuk sesuatu acara) serta terus belajar mengenainya hingga kini. Terdapat sebahagian catatan blog yang hilang pada peringkat awal memandangkan masih banyak perkara yang perlu dipelajari - try and error.

Bustan Mawaddah menjadi blog perkongsian saya dan teman-teman di al Azhar pada ketika itu. Apa sahaja yang menuntun saya untuk menjadikannya sebagai kenangan atau kisah klasik untuk masa depan, maka saya akan mendapatkannya dan menyiapkannya dalam bentuk catatan. Kebanyakannya catatan ketika berada di perlembahan nil dan sedikit catatan setelah pulang ke tanah air. Ada ketika saya diuji dengan masalah kesihatan dan menangguhkan sebarang penerbitan dalam tempoh yang agak lama ditambah lagi dengan masa yang terhad ketika berkerjaya.

Selang beberapa ketika, ada kalanya keinginan datang menjengah dinding waktu dan mengetuk jendela penulisan di Bustan Mawaddah. Namun cabaran untuk 'menyentuh' Bustan Mawaddah mengundang pelbagai 'rasa' yang lemas dan tenggelam. Cakera memori yang tersimpan berputar deras bagai bersayap bercerita dengan seribu kenangan ketika di berada di perantauan. Setiap catatan mempunyai cerita di sebalik cerita yang datang menebas kotak minda bawah sedar. Sungguh beruntung, penulis lahir setelah kamera diciptakan. Sesungguhnya dunia digital punya pesonanya yang tersendiri, namun saya tetap memilih analog.

Setelah melewati usia 40-an, saya mencari kekuatan untuk menulis kembali di Bustan Mawaddah. Kekuatan itu terletak pada muhasabah diri. Benar, sudah banyak artikel yang saya hasilkan sebelumya di blog berkaitan perniagaan. Namun untuk mengekalkan konsep dan semangat Bustan Mawaddah bukannya mudah. Saya mengambil masa untuk mewujudkan semula keaslian Bustan Mawaddah dengan menapis setiap artikel dan catatan di dalamnya agar semangat Bustan Mawaddah kembali seterusnya bergerak pada landasan yang tepat.

Bustan Mawaddah akan menerbitkan semula catatan dalam arkib terdahulu dan setiap artikel ini akan diberikan prakata, memandangkan pembaca hari ini bukan lagi hanya terdiri daripada sahabat-sahabat sepengajian, malah di kalangan mereka dari dunia perniagaan, pengguna produk dan sebagainya. Sejujurnya, Bustan Mawaddah hanya blog terpencil hasil buah tangan daripada watak kerdil yang tidak dikenali untuk cuba berkongsi peristiwa dan mencipta kenangan bersama teman-temannya.

Bustan Mawaddah mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap jiwa yang telah menggunakan segala ruangan yang ada untuk menjalinkan persaudaraan samada di ruang sembang, komentar, pengikut, perkongsian dan mengabadikan pautan Bustan Mawaddah di dalam blog mereka. Teman-teman yang datang bukan hanya dari satu aliran dan institusi pengajian, malah ada di antaranya daripada aliran dan institusi yang berbeza, namun tetap di bawah payung yang sama (bersaudara). Semoga Allah membalas segala jasa baik persahabatan yang telah dihulurkan.

Walk closely beside me


Bustan Mawaddah juga akan berkongsi kenangan bermula dari zaman persekolahan hingga ke alam pengkuliahan dengan satu maksud - untuk mengambil kebaikan daripadanya dalam bentuk jalinan persaudaraan. Tekad ini juga merupakan hasrat daripada sahabat-sahabat yang pernah mencadangkan agar dikongsikan kembali catatan lalu sebagai kenangan. Namun untuk melakukannya, sudah pasti memerlukan masa, tenaga dan buah fikiran. Berhambatan dengan usia dan tanggungjawab semasa yang semakin meningkat, bersama-sama kita mendoakan agar ianya dipermudahkan. Sahabat yang sejati akan membawa kerinduan yang abadi. Ke mana sahaja langkah ini dituju, tersemat dalam diri Bustan Mawaddah,"walk closely beside me".

Catatan hujung Ramadan 1444H/ 2023

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved