Breaking News
Loading...
22 April 2023

Mengenang kad Hari Raya perantauan

 

Aidilfitri antara benua: Mesir - Indonesia

Sebelum Bustan Mawaddah tampil menerusi catatan awalnya di blog, kad Hari Raya Aidilfitri di perantauan terlebih dahulu mengisi ruang salam ingatan daripada teman-teman di luar negara (Mesir - Indonesia). Menggunakan judul Aidilfitri antara benua melibatkan teman-teman yang menyambung pengajian di benua Afrika (Mesir) dan benua Asia (Indonesia).


Sebagaimana dalam catatan Bustan Mawaddah: 16 tahun selepas (2007 - 2023) yang diterbitkan sebelum ini di mana saya tidak mempunyai kemudahan (komputer sendiri) untuk merealisasikan apa yang terkandung dalam kotak fikiran, hal yang sama juga terjadi dalam pembikinan design kad Aidilfitri antara benua ini. 

Untuk makluman pengunjung baharu Bustan Mawaddah, penuntut Malaysia di Mesir yang mendiami rumah sewa selalunya akan tinggal secara berkumpulan. Terdapat juga kediaman luas yang mempunyai banyak bilik dapat menempatkan lebih ramai penuntut Malaysia. Ia boleh dilihat di kebanyakan muhafazah (cawangan Universiti al Azhar). Manakala di Kaherah, terdapat bangunan (rumah kebajikan anak negeri) seperti di Hayyu Asyir, Hayyu Sabie' dan Hayyu Tsamin yang menempatkan setiap bangunan hanya terdiri daripada penuntut Malaysia. Sebagai contoh di Hayyu Asyir yang mempunyai bangunan penuntut Terengganu, Selangor, Kedah dan Sarawak dalam satu tempat yang sama secara berdekatan.

Pada peringkat awal setelah ditempatkan di Tanta yang merupakan cawangan Universiti al Azhar yang telah saya pilih sebelum menjejakkan kaki di perlembahan nil ini, saya telah mendiami sebuah rumah di Qubri Qohafah bersama dua orang lagi teman, masing-masing dari Pulau Pinang dan Kedah. Kemudian saya berpindah ke Tanta Scan dan tinggal bersama tiga orang teman dari Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu. Tidak pernah menjangka, di Tanta Scan akan lahir Bustan Mawaddah.

Ringkasnya, kad Hari Raya Aidilfitri antara benua ini dihasilkan dengan menggunakan komputer dekstop daripada seorang teman di rumah yang sama saya diami. Pada waktu ini komputer desktop masih mendominasi penggunaannya di kalangan penuntut Malaysia dan saya memanfaatkan kesempatan yang ada untuk merealisasikan kad Hari Raya Aidilfitri di perantauan dan pada tahun berikutnya blog Bustan Mawaddah mula tercitpa.

Aktiviti ziarah atau berkunjung ke rumah teman-teman samada di Kaherah dan muhafazah sering dilakukan apabila selesai musim peperiksaan. Saya mengambil peluang berkunjung ke Kaherah, Shibin dan Tafahna untuk mengumpul sejumlah gambar teman-teman untuk dimuatkan ke dalam kad raya ini. Ada juga teman-teman yang datang menziarahi saya di Tanta turut membawa gambar berukuran pasport untuk tujuan yang sama mencipta kenangan ini. Aktiviti kunjungan ini juga menjadi ilham kepada bentuk acuan dan semangat Bustan Mawaddah.

Sementara teman-teman yang berada di Indonesia pula, saya minta wakil mereka untuk mengirim gambar menerusi emel. Apabila semua gambar untuk batch pada waktu ini telah siap dikumpul, maka proses mencipta grafik kad raya ini bermula. Kad Aidilfitri antara benua ini bagi saya cukup bermakna kerana perjalanan untuk menyiapkannya agak menarik dan punya kenangan serta sejarah tersendiri. Bustan Mawaddah yang mengambil semangat daripada album Nostalgia Gemilang Wida' 2005 juga mendapat tempias daripada kad Aidilfitri antara benua ini di mana pembentukkannya akan bermula.

Setelah kad Hari Raya Aidilfitri antara benua ini siap, ia mula dicetak dalam bentuk foto kecil untuk simpanan teman-teman sebagai kenangan bersama. Manakala cetakan pada ukuran lebih besar diletakkan di papan kenyataan pejabat Kolej Universiti Darul Quran Islamiah sebagai kenangan Hari Raya Aidilfitri daripada anak-anak lepasan yang berada di perantauan Mesir dan Indonesia. Pada tahun berikutnya penyertaan teman-teman dari tanah air untuk menyambung pengajian di perlembahan nil ini semakin meningkat dan pada waktu ini sekeping kad raya tidak mampu lagi membariskan kesemua gambar mereka melainkan diabadikan kenangan bersama mereka dalam sebuah platform. Maka Bustan Mawaddah mengisi kelompongan ini dan cakupannya lebih luas dengan dilibatkan teman-teman daripada aliran dan institusi pengajian yang berbeza,

Catatan ini saya siapkan pada 1 Syawal 1444 iaitu hari raya pertama tahun 2023 untuk Bustan Mawaddah. Saya ingin mengambil ruang yang ada ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua teman yang telah turut sama-sama mencipta sejarah bersama suatu ketika dahulu. Tanpa pengorbanan daripada kalian semua, kad Aidilfitri antara benua ini mungkin tidak dapat dihasilkan. Sebab itu kad ini amat bermakna bagi saya kerana kita sama-sama berada dalam peristiwa tersebut dan mencipta sejarah bersama.

Salam Aidilfitri maaf zahir dan batin.

Catatan 1 Syawal 1444. Pasar Manir, Kuala Terengganu.

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved