Breaking News
Loading...
02 April 2024

Bersama moderator rancangan televisyen Mesir


Temui moderator rancangan keagamaan di perkarangan Hotel Sheraton 

Prakata tahun 2024

Catatan asal di Bustan Mawaddah diterbitkan pada 25 Oktober 2008. 
 
Memasuki dunia alaf baharu, pemain industri televisyen penyiaran mendapat persaingan sengit daripada lambakan kemunculan media baharu yang dikenali sebagai media sosial. Media sosial dilihat lebih menjimatkan kos dan mempunyai capaian yang lebih meluas terutama di kalangan generasi muda. Namun begitu, penyiaran televisyen masih lagi menjadi sumber penting untuk masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan dasar, polisi dan hal ehwal berkaitan.
 
 
Hal ehwal berkaitan keagamaan sangat penting untuk diketengahkan ke khalayak di samping penerapan nilai murni dan budaya yang membantu kepada perkembangan masyarakat. Sebagai contoh, rancangan bicara agama yang diadakan di televisyen. Ia dapat diikuti setiap lapisan masyarakat samada mereka yang dapat menggunakan media sosial atau mereka yang hanya mampu menonton televisyen dan mendengar radio.

Penulis ingin mengimbau tulisan terdahulu ketika berada di Perlembahan Nil (Mesir) dan mengaitkan dengan dua rangkap catatan di atas mengenai bidang penyiaran televisyen. Artikel ini juga mempunyai kaitan (peristiwa) dengan artikel penerimaan zakat para penuntut al Azhar dari Terengganu iaitu program penyampaian zakat kepada penuntut Terengganu yang diadakan di Hotel Sheraton, Montazah, Iskandariah.

Penuntut yang tersenarai dalam bantuan zakat ini terdiri di kalangan pelajar Pengajian Islam dan Pengajian Perubatan di Mesir. Sebelum acara ini diadakan, rata-rata para penuntut yang telah tiba di Iskandariah mengambil peluang untuk melihat suasana di sini termasuk berkenalan ringkas dengan masyarakat arab yang ditemui.

Salah seorang warga arab yang ditemui ialah Ustaz Asyraf. Beliau bersama pasukan penyiarannya juga mempunyai misi di Iskandariah untuk slot rancangan di televisyen. Beliau memperkenalkan diri sebagai moderator rancangan bicara agama yang diadakan pada waktu malam.

Beliau adalah contoh bagaimana perihal berkaitan program keagamaan ini boleh disampaikan kepada khalayak. Pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk menyampaikan keindahan Islam dan beliau memilih untuk berkhidmat sebagai moderator slot bicara agama.

Setelah 16 tahun berlalu. Penulis tertanya-tanya, bagaimanakah keadaan Ustaz Asyraf sekarang ini? Adakah beliau masih lagi mengendalikan slot bicara agama sebagai moderator di sebuah stesen penyiaran televisyen? Atau beliau kini bergerak di media sosial kerana faktor cabaran penyiaran yang disebutkan pada dua rangkap pertama di atas? Atau beliau masih lagi di stesen penyiaran yang sama dan capaian untuk mengikutinya diluaskan lagi menerusi media sosial?

Kedua-duanya (stesen televisyen dan media sosial) mempunyai pengaruh tersendiri. Asalkan ia digunakan untuk kebaikan dan menyampaikan keindahan Islam, maka tugasnya telah dilaksanakan. Semoga Ustaz Asyraf terus diberikan kebaikan.

Untuk akhirnya Bustan Mawaddah mengajak pengunjung untuk membaca catatan di bawah yang merupakan catatan asal blog dan turut sama berada dalam perbualan bersama Ustaz Asyraf berhampiran Hotel Sheraton di Iskandariah, Mesir.

Catatan 22 Ramadan 1445. Kota Bharu.
 

Artikel asal


Siaran televisyen Mesir mempunyai pelbagai rancangan yang boleh diikuti samada berbentuk keagamaan, hiburan, sukan dan sebagainya. Semuanya terpulang kepada penonton dalam membuat pilihan, penilaian dan pertimbangan untuk mengambil manfaat daripadanya. Salah satunya ialah rancangan berunsur keagamaan seperti bicara agama Islam yang disiarkan dalam sebuah slot setiap jam 10 malam (waktu Mesir) menampilkan pengacara yang cukup mesra iaitu Ustaz Asyraf (gambar).
 
Kehadiran penulis bersama sahabat-sahabat dari jurusan Perubatan Tanta Mesir (Medic) ke Hotel Sheraton (Sheraton Montazah Hotel - Alexandria, Egypt) di Iskandariah untuk urusan penerimaan zakat memberi peluang secara kebetulan bertemu dengan Ustaz Asyraf. Mengenali lebih dekat sosok pengacara rancangan keagamaan televisyen Mesir ini menerusi perbualan bersama seketika, jelas menunjukkan beliau adalah seorang yang cukup gigih dan bijak dalam menguruskan tugasan untuk stesen televisyen tersebut. 
 
Beliau juga banyak membuat wawancara tentang hal ehwal agama bersama pelajar-pelajar dari luar Mesir termasuk Malaysia dan Indonesia. Penulis sempat berbual seketika dengan beliau sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran Hotel Sheraton.

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved