Breaking News
Loading...
25 April 2023

Kenangan sambutan Aidilfitri di Tanta

 

Mengerat hubungan persaudaraan di kalangan penuntut

Bila tiba musim perayaan, banyak aktiviti akan dilakukan samada di peringkat muhafazah (penuntut yang berada di kampus cawangan Universiti al Azhar) atau di Kaherah (penuntut yang berada di kampus utama Universiti al Azhar) di mana badan kebajikan anak negeri berada di sini. Majlis sambutan perayaan akan diadakan pada masa yang berbeza antara penuntut di muhafazah dan di Kaherah untuk mengelakkan pertindihan penyertaan di kalangan penuntut. Sebagai penulis Bustan Mawaddah, saya meraikan kedua-duanya dan menyertai majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanta dan Kaherah.


Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanta telah diadakan di Bait Izzah yang menjadi dewan utama penganjuran sebarang aktiviti seperti majlis ilmu, pengajian kitab dan sebagainya. Catatan berkait dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanta telah saya terbitkan di Bustan Mawaddah sebelumnya berjudul solat Aidilfitri di Stadium Tanta dan walk closely beside me yang bercerita tentang perjalanan sambutan Hari Raya Aidilfitri penuntut Universiti al Azhar cawangan Tanta bermula solat sunat Aidilfitri, berarak ke tempat aktiviti diadakan dan menyertainya.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini penting diadakan agar penuntut dapat meraikannya secara bersama dan dapat mengikuti acara-acara menarik yang dapat meningkatkan lagi hubungan persaudaraan dan saling mengambil berat antara antara satu sama lain. Ketika berada di kejauhan ini, keakraban dalam persahabatan begitu terserlah kerana banyak masa yang dihabiskan dilalui secara bersama dan tumpuan hanya pada pembelajaran. Bertepatan dengan tema Bustan Mawaddah - walk closely beside me, nilai keakraban dalam persahabatan akan diterjemahkan melalui catatan yang akan diterbitkan semula nanti.




Selepas menunaikan ibadah di Stadium Tanta, saya bersama teman-teman penghuni di kawasan Tanta Scan (termasuk penuntut yang menghuni di kawasan lain) berarak menuju ke tapak lokasi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bait Izzah. Ketika tiba di pintu masuk dewan utama, kelihatan ramai penuntut yang lain telah menunggu untuk melangkah bersama ke acara program. Ketika ini ramai yang bertanya khabar dan saling bermaafan serta mengundang teman-teman yang dijumpai untuk datang berhari raya di kediaman antara satu sama lain. Sudah tentu juadah apa yang disediakan menjadi bahan pertanyaan, sambil dibalas, "ada makan-makan sedikit".

Pada artikel yang lalu juga dicatatkan teka-teki yang bersarang di minda setiap peserta apakah bentuk aktiviti yang akan diadakan dan hidangan apakah yang akan disediakan pada hari penuh bermakna ini di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sebaik melangkah masuk ke dewan utama DPM Tanta, masing-masing menuju ke koperasi terlebih dahulu bagi melihat apakah perkara menarik atau bahan yang boleh didapati di sini selain makanan bungkusan seperti roti dan biskut. Bahan terkini yang boleh dilihat di koperasi Bait Izzah selalunya majalah Suara Kampus edisi terkini yang dikeluarkan oleh Biro Penerbitan dan Penerangan melibatkan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) di setiap muhafazah dan Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN). Selaku penulis Bustan Mawaddah, saya tidak ketinggalan memiliki majalah-majalah ini.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) kini bermula setelah beberapa ketika penuntut mengambil tempat. Kemeriahan Aidilfitri begitu terasa apabila aktiviti seumpama ini dapat diadakan. Apabila bersua dengan teman-teman lain yang mungkin sahaja kurang begitu erat sebelumnya, maka penyertaan ke majlis ini dapat membantu meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan penuntut. Saya memerhatikan setiap suasana majlis ini untuk gambaran catatan di Bustan Mawaddah dan tema walk closely beside me tercapai menerusi aktiviti seumpama ini.




Ucapan aluan daripada Pengarah Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ucapan daripada Pengerusi DPM Tanta antara slot yang mengisi majlis lebaran ini. Setiap butir bicara mereka pasti tidak akan meninggalkan nasihat yang berkaitan kepentingan persaudaraan, kawalan keselamatan dan sejarah junjungan mulia yang menjadi contoh untuk diikuti. Beberapa slot lain yang disediakan hadiah untuk peserta antaranya cabutan bertuah dan anugerah peserta peserta berpakain paling menarik yang dimenangi oleh penulis Bustan Mawaddah sendiri.

Saya dijemput untuk menerima hadiah peserta berpakaian paling menarik dan diminta untuk memberi sedikit ucapan Hari Raya Aidilfitri untuk teman-teman penuntut yang lain. Menerusi ucapan ini saya mengakhiri dengan ungkapan, 'akar nibong meresap, akar mati dalam perahu, terbakar kampung kelihatan asap, terbakar hati siapa yang tahu'. Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini diakhiri dengan jamuan sate, nasi himpit dan lain-lain sekaligus menjawab segala teka-teki yang membelit minda tentang apakah bentuk program dan juadah apa yang disediakan. Lima belas tahun yang lalu, saya tidak pernah menulis tentang perkara ini dengan lengkap di Bustan Mawaddah. Salam Aidilfitri maaf zahir dan batin.

Catatan 5 Syawal 1444. Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Losong, Kuala Terengganu.

0 comments:

Copyright © 2013 Bustan Mawaddah All Right Reserved