Menghantar sepanduk majlis ilmu Israk & Mikraj

Ceramah sambutan peristiwa Israk & Mikraj

 

Reka corak sepanduk sambutan Israk & Mikraj

Gambar reka bentuk untuk sepanduk pengumuman acara kuliah maghrib sempena peristiwa bersejarah dalam Islam iaitu Israk & Mikraj telah lama disiapkan. Kira-kira sebulan yang lalu, imam dari sebuah masjid meminta saya untuk menyiapkannya - lebih awal berbanding kebiasaan. Pada saya, mungkin untuk mendapatkan persetujuan daripada jawatan kuasa masjid terlebih dahulu. Selalunya untuk acara seperti ini makluman menerusi sepanduk akan dihebahkan seminggu atau dua minggu lebih awal sebelum acara diadakan.

Peristiwa Israk & Mikraj

Peristiwa Israk & Mikraj mengandungi hikmah, erti dan pengajaran yang cukup besar bagi setiap penganut Islam yang mengkaji, meneliti dan memahami setiap jejak yang ditinggalkan baginda Muhammad S.A.W. Terdapat beberapa persoalan yang dibangkitkan daripada kisah perjalanan Nabi S.A.W yang agung ini, antaranya isu yang sering berlegar dalam setiap perbincangan ahli ilmu ialah baginda bertemu dengan Allah dan dapat melihatnya terus melalui mata kasar atau bagaimana?

Al-Quran menyebut tentang peristiwa Israk dengan jelas, berbanding Mikraj isyaratnya ada di dalam al Quran, namun perinciannya tidak begitu jelas. Israk membawa maksud perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Daripada mana pula dapat diketahui adanya Mikraj? Mi'raj sabit daripada hadis-hadis yang mutawatir daripada Nabi S.A.W. Iaitu berlakunya apa yang dikatakan Mi'raj baginda ke langit. Ke mana sampai kemuncaknya? Berdasarkan hadis-hadis, kemuncaknya sampai ke Sidratul Muntaha

Adakah Nabi S.A.W sampai ke 'arasy seperti riwayat yang menyatakan 'telah mulianya 'arasy dengan tapak kasut Nabi' (sebagaimana) ada pihak yang selalu menyebutkannya? Ianya palsu, tidak ada riwayat sahih yang seperti itu. Adakah Nabi S.A.W melihat tuhannya, iaitu melihat Allahu jalla wa 'ala? Hal ini dibahaskan oleh para ulama. 

Imam al-Darimi menyebut - sebagaimana juga ijamak sahabat - mengatakan Nabi S.A.W tidak melihatnya (Allah). Tetapi apabila dilihat kepada riwayat-riwayat sahabat, maka didapati beberapa keadaan yang dapat dilihat. Pertama apa yang disebut oleh A'isyah R.A dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim di dalam sahihnya, di mana A'isyah R.A menyatakan, "Sesiapa yang kata Muhammad melihat tuhannya, (maka dia) bohong." "Kerana Allah berkata, Allah itu tidak dicapai oleh mata." Dan A'isyah ulang beberapa kali. Dalam sebahagian riwayat, ada orang bertanya A'isyah, adakah Muhammad melihat tuhannya? "Berdiri bulu roma aku dengan apa yang kamu kata". A'isyah menafikannya dan berkata, "bohong".

Ada riwayat daripada Ibnu Abbas apabila beliau ditanya dalam hal ini, Ibnu Abbas mengatakan, "Nabi S.A.W lihat (Allah) dengan mata hatinya", bukan lihat secara fizikal. Dalam riwayat Muslim, Abu Dzar bertanya Nabi SAW, "adakah kau melihat tuhanmu?", Nabi berkata, "cahaya.. di mana akan ku lihat-Nya". Jadi riwayat-riwayat ini menunjukkan seperti Nabi tidak lihat dengan mata. Hal berkaitan ini begitu panjang perbahasannya. Majoriti menyatakan Nabi S.A.W tidak melihat-Nya dengan mata melainkan ada riwayat daripada Ibnu Abbas yang mengatakan, Nabi melihat dengan mata hatinya. Allahu jalla wa 'ala

aku, kau dan vespa, sejarah kemunculan vespa, kisah perjalanan ke Tafahna al Asyraf di Mesir

 

Menghantar sepanduk sambutan Israk & Mikraj ke masjid

Saya menghantar sepanduk ini sebaik sahaja jamaah usai solat asar di masjid. Kehadiran yang begitu ramai dapat dilihat pada kenderaan yang memenuhi perkarangan masjid. Tercari-cari juga saya, di manakah vespa klasik bilal masjid? (baca juga artikel saya: Kau, aku dan vespa). Mungkin bilal datang dengan kerata agaknya. Melangkah masuk di ruang utama masjid, ternyata jamaah sudah penuh memandangkan sebuah majlis pengajian ilmu (akidah) akan bermula. Menerusi sepanduk ini, sebuah majlis ilmu sempena mengingati peristiwa Israk & Mikraj akan disampaikan oleh seorang penceramah bebas iaitu Ustaz Muhammad Hanif bin Muhammad Lee. Semoga penduduk di kawasan Kubang Kerian ini khusunya akan terus memeriahkan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak masjid. 

Selamat mengikuti pengajian ilmu.

________________________________
 
Artikel saya di platform lain: 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kau, aku dan vespa

Dapat hadiah daripada yang teristimewa